Pasukan Guru Sabah Naib Johan Simon Greenall Award (UK) 2023

KENINGAU : Pasukan guru dari Kolej Vokasional Keningau yang terdiri daripada Vienny Balakrishnan, Mujip Munib, Erma Gagah dan Anita Md. Yasin, telah mendapat naib johan anugerah anjuran Macmillan Education dan International House World Organization iaitu Simon Greenall Award bagi tahun 2023.

Pasukan ini pada awalnya telah tersenarai sebagai tiga penyertaan terbaik yang disenarai pendekkan untuk sesi penilaian temubual melalui Zoom pada awal bulan Jun.

Mereka telah berjaya mendapat kedudukan kedua selepas keputusan diumumkan oleh penganjur.

Pasukan guru ini mempertaruhkan projek mereka yang dinamakan “Virtual, Remote, Live” atau secara ringkasnya “VRL” iaitu satu projek kelas dalam talian yang dikendalikan dalam Bahasa Inggeris untuk para pelajar dari negara-negara lain.

Memandangkan guru-guru ini merupakan guru vokasional dalam bidang bakeri, kulinari dan kosmetologi, mereka menggunakan kepakaran dan kelengkapan yang mereka ada untuk membuat kelas amali melalui aplikasi Google Meet.

Melalui kelas-kelas ini, mereka menunjukkan prosedur penyediaan makanan serta langkah-langkah penjagaan kecantikan dan kebersihan yang dapat diamalkan oleh pelajar-pelajar kelas mereka.

Mereka pernah melaksanakan projek ini pada tahun 2022 dengan kerjasama daripada persatuan pendidikan SEAMEO TED yang berpusat di Kemboja dan projek itu berlangsung selama tiga bulan.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian tersebut kerana projek ini mampu meningkatkan kapasiti guru untuk meneroka pelbagai teknik pengajaran termasuklah penggunaan teknologi dan bahasa Inggeris dalam pendekatan mereka.

Ketua projek itu, Vienny Balakrisnan, menganggap pencapaian tersebut sebagai satu bukti bahawa projek mereka merupakan satu projek yang mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai amalan berterusan bagi kolej tersebut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Rakaman pembentangan projek ini secara atas talian boleh diakses melalui:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *