Pusat Refleksologi Jadi ‘Port’ Kegiatan Pelacuran

Wanita warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran di sebuah pusat refleksologi di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Sembilan wanita warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat refleksologi yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran menerusi Op Noda di Jalan Coastal, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, turut menahan seorang lelaki disyaki menjadi pengurus aktiviti pelacuran berkenaan.

Ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki disyaki pelanggan dan 20 pekerja terdiri daripada seorang lelaki dan 19 wanita warga asing.

Hasil dokumentasi, seramai 10 wanita dibebaskan kerana memiliki jaminan pasport atas syarikat berkenaan.

Namun, sembilan wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di premis berkenaan.

Turut ditahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga pengurus dan seorang wanita berusia 20 tahun sebagai juruwang di premis berkenaan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas satu botol losyen berisi pelincir, pasport, dan satu paket kondom yang belum digunakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi hari ini, mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, pengurus lelaki yang ditahan juga disyaki mengurus aktiviti pelacuran di dalam pusat refleksologi berkenaan.

“Seramai sembilan wanita berasal dari China, Thailand dan Filipina ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran dan menyalahgunakan pasport dengan bekerja sebagai tukang urut di pusat refleksologi berkenaan.

“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *