RM44 Juta Ditemui Di Pejabat, Rumah Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah – Saksi

Wang RM10 juta yang dirampas SPRM daripada seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di Sabah pada 4 Oktober 2016.

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, diberitahu bahawa wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

Perkara itu dimaklumkan ketua pasukan serbuan nombor lapan, Hishammudin Mohammed Esa, 49, semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat.

Hishammudin memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-40 di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dalam perbicaraan skandal rasuah terbesar di Sabah itu.

Beliau berkata, lebih RM23 juta ditemui semasa serbuan di pejabat Ag Tahir pada 4 Oktober 2016 di Wisma Muis.

“RM62,500 ditemui dalam beg bertanda ‘Tahir’ di meja Ag Tahir.

“Wang tunai selebihnya ditemui di tiga lokasi lain di dalam bilik pantri – di sofa dengan tiga tempat duduk, kabinet TV serta kabinet kayu,” katanya sambil menambah bilik pantri itu berada di belakang meja Ag Tahir.

Wang RM10 juta yang dirampas SPRM daripada seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di Sabah pada 4 Oktober 2016.

Beliau turut memberi keterangan bahawa setiap bungkusan wang antara RM50,000 dan RM100,000 dan hanya Ag Tahir yang mempunyai akses ke bilik pantri di pejabatnya.

Bilik pantri itu adalah bilik dengan papan tanda “Go Away” di pintunya di mana timbunan wang tunai ditemui dan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hishammudin turut memberitahu pada hari sama, lebih RM21 juta ditemui ketika pasukannya menyerbu rumah Ag Tahir di Sembulan.

Menjawab soalan, beliau berkata lebih RM8 juta ditemui dalam sebuah bilik di tingkat tiga rumah itu.

Beliau turut berkata, 86 jam tangan berjenama dan mewah serta 921 barang kemas turut ditemui di rumah berkenaan.

Saksi selanjutnya memberi keterangan bahawa pasukannya selanjutnya menemui wang tunai RM9 juta dan RM4 juta masing-masing di dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz.

“Kira-kira RM9 juta ditemui dalam sebuah kereta Mazda. Wang itu dimasukkan ke dalam beberapa beg yang disimpan di dalam bonet kereta. Ketika itu kereta diparkir tidak jauh dari pagar rumah yang diletakkan di luar pagar rumah.

“Sebanyak RM4 juta lagi ditemui di dalam sebuah Mercedes Benz. Wang itu dimasukkan ke dalam beg dan dimasukkan ke dalam bonet kereta,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *