Remaja Lemas Ditemui 100 KM Dari Lokasi Jatuh

Mayat mangsa ditemukan orang awam di tepi pantai Kampung Rukom, Kudat.

TUARAN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelapan bagi mengesan remaja lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Tuaran, Kampung Telibong Tamparuli pada 8 Julai lalu, dihentikan selepas satu mayat ditemukan orang awam di daerah Kudat hari ini.

Mayat Mohd Hisham Iskandar Azli, 13, ditemukan orang awam di tepi pantai Kampung Rukom, Kudat kira-kira jam 9.10 pagi tadi 100 kilometer dari tempat dia jatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang tadi.

“Operasi ditamatkan serta-merta selepas pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa yang disahkan meninggal dunia di tepi pantai Kampung Rukom, Kudat.

“Ia selepas ahli keluarga mangsa yang selesai menjalankan pengecaman identiti mangsa pada jam 4.15 petang,” katanya.

Pada 8 Julai lalu kira-kira jam 2.30 petang, mangsa dilaporkan terjatuh dari Jambatan Gantung Kampung Damat – Kampung Lakang di Kampung Telibong, Tamparuli.

Hasil tinjauan sejak jam 8 pagi hari ini juga, mendapati lebih 100 orang awam turut serta membantu pasukan penyelamat di Sungai Tuaran dan muara Sungai Bolong. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *