Kes Bunuh Pemandu E-Hailing: Bekas Ketua Perisikan ESSCOM Hadapi Satu Lagi Tuduhan Baharu

Zaki berdepan satu lagi pertuduhan baharu bersubahat membunuh pemandu e-hailing, Nurman di sebuah ladang kelapa sawit.

TAWAU: Bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan satu lagi pertuduhan baharu berhubung kes bunuh pemandu e-hailing.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Suhaila Selag.

Mengikut pertuduhan baru hari ini, Mat Zaki didakwa bersubahat dengan John Kennedy Sanggah untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika tidak dihukum mati dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari 12 belas sebatan.

Pada 8 Februari lalu, Mat Zaki turut dakwa bersubahat dengan enam tertuduh lain iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anit, 44; Fabian Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34, membunuh Nurman di tempat dan waktu yang sama.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Dalam pada itu, permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua lapan tertuduh ke Mahkamah Tinggi Tawau turut dibenarkan selepas permohonan dikemukakan mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah ketika prosiding disebut semula hari ini.

Peguam yang hadir mewakili setiap lapan tertuduh juga tidak membantah permohonan untuk memindahkan kes itu.

Suhaila memaklumkan sebutan untuk tarikh dan masa perbicaraan akan ditetapkan kemudian oleh Mahkamah Tinggi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *