Tiada Bukti Filipina Campur Tangan Tuntutan Sulu, Kata PM

Anwar berkata kepentingan Sabah sebagai wilayah merdeka bersama Malaysia tidak terjejas di sebalik tuntutan Sulu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setakat ini tiada bukti menunjukkan ada campur tangan kerajaan Filipina berhubung isu tuntutan Sulu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Khlir Mohd Nor (PN- Ketereh) yang mendakwa bahawa kerajaan Filipina terlibat dalam tuntutan itu.

“Setakat ini tidak ada bukti penglibatan kerajaan Filipina dan ini saya patut tegaskan disini,” katanya pada sesi penerangan status terkini tuntutan dari lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, meskipun wujud hubungan dua hala antara Filipina dan tuntutan tersebut masih ada, Anwar memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjejaskan kepentingan Sabah sebagai satu wilayah merdeka berdaulat bersama Malaysia.

Mahkamah Rayuan Perancis pada 6 Jun lalu mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa pada 2020.

Keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan Kumpulan Sulu.

Pada Mac, sebuah mahkamah di Paris mengekalkan perintah penangguhan yang diperoleh Malaysia, sementara menunggu keputusan dakwaan Putrajaya bahawa award mahkamah timbang tara itu melanggar kedaulatan Sabah.

Dalam pada itu, Anwar berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Belanda berhubung permohonan pihak yang membuat tuntutan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ di Belanda dijangka akan keluar pada 27 Jun.

Tambahnya, polis memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa terhadap mana-mana pihak yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara, bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Kata Anwar, kerajaan juga memberi jaminan bahawa segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang dan tiada unsur penindasan terhadap mana-mana pihak.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *