Bayi Lelaki Ditemui Bawah Kolong Rumah Di Papar

Polis berkata bayi terbabit dalam keadaan stabil dan dimasukkan di Wad Kanak-kanak Hospital Papar.

PAPAR : Seorang bayi lelaki cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Sapat, Papar, semalam.

Bayi itu ditemukan di tanah tanpa sebarang pakaian dalam keadaan kesejukan oleh pemilik rumah yang terdengar tangisan kira-kira jam 4 pagi.

Susulan itu, pemilik rumah seorang lelaki berusia 52 tahun menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Papar, Kamaruddin Ambo Sakka, berkata pemilik rumah terdengar suara bayi menangis di bawah kolong ketika ingin ke tandas.

Katanya, selepas hampir 10 minit tangisan itu tidak berhenti, dia beranikan diri turun ke bawah kolong dan mendapati ada objek yang bergerak-gerak.

“Dia mendapati ia adalah bayi yang ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang di tanah.

“Selepas itu, dia memanggil isterinya dan meminta membawa tuala untuk menyelimuti bayi terbabit kerana kesejukan,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Menurutnya, selepas itu mereka menghubungi polis dan bayi dihantar ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.

“Bayi terbabit dalam keadaan stabil dan dimasukkan di Wad Kanak-kanak Hospital Papar,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang masih hidup.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat iaitu Sarjan Noor Azura Linggisan di talian 016-8262067,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *