TAWAU: Badai melanda UMNO Sabah nampaknya belum berakhir dengan terkini tindak-tanduk Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang didakwa lebih mesra dan cenderung kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Sabah) mencetus tanda tanya.
Keadaan itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan khabar angin termasuk ada yang menganggap bekas Ketua Bahagian UMNO Kalabakan itu bakal menyertai parti yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru, Ketua Pemudanya, Muhammad Alias Udin, menyeru Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian supaya menyatakan pendiriannya berhubung status keahliannya dalam UMNO.
“Sejak akhir-akhir ini, timbul persoalan apabila banyak program dan majlis rasmi diadakan tidak lagi menggunakan logo UMNO atau Barisan Nasional (BN).
“Lebih mendukacitakan banyak program yang menggunakan tenaga ahli parti UMNO hanya dinyatakan sebagai rakan kerjasama atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa ada sebarang penghargaan sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Alias berkata, ketiadaan logo UMNO dan BN dalam poster papan iklan ucapan Hari Raya Aidilfitri Suryady yang dipasang baru-baru ini turut menjadi tanda tanya ahli dan penduduk di daerah ini.
“Papan iklan itu memaparkan gambar beliau bersama Hajiji dan wakil rakyat Gagasan Rakyat sahaja, selain logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pemuda UMNO Kalabakan sangat kecewa dengan tindakan itu kerana selama ini kamilah yang banyak membantu sehingga dia (Suryady) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pucuk pimpinan UMNO negeri dan Pusat mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.
Sementara itu, Suryady ketika dihubungi mengesahkan beliau masih lagi ahli UMNO Bahagian itu.
Pada pemilihan UMNO lalu, Suryady tidak bertanding untuk mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kalabakan dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada tugas rasmi sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, selain memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui bahagian berkenaan.
Pada Mac lalu, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun selepas dikatakan membelakangkan keputusan parti dengan tidak menyokong keputusan UMNO Sabah sebelum ini.
Shahelmy yang juga ADUN Tanjung Keramat bersama empat lagi ADUN yang bertanding menggunakan tiket UMNO ketika PRN Sabah pada 2020, bertindak kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Mereka tidak menyokong keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji yang digerakkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam cubaan untuk menukar kerajaan.
Cubaan itu gagal apabila ada ADUN yang tidak bersetuju. – BH Online