Sabah Usah Terikut-Ikut Gerakan Jatuhkan Kerajaan Perpaduan

Datuk Ewon Benedick

TAMPARULI: Sabah tidak seharusnya terikut-ikut dengan gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan perbuatan itu boleh merugikan banyak pihak terutama rakyat di negeri ini yang memerlukan perhatian.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata Sabah sendiri amat memerlukan sokongan kerajaan yang memberikan tumpuan kepada pelbagai kaum dan agama.

“Sabah tidak seharusnya mudah terpedaya dengan gerakan menjatuhkan kerajaan semata-mata ingin mengangkat pihak lain untuk mengambil alih kuasa pemerintahan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Usahawan dan Koperasi MADANI sempena Pesta Kaamatan di Dewan Tun Hamdan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas wujudnya desas-desus mengenai usaha menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Ewon berkata, UPKO sendiri menolak gerakan untuk menjatuhkan kerajaan itu memandangkan pelantikan Anwar selaku Perdana Menteri mengikut perlembagaan negara yang betul, selain prosesnya dipersetujui Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak yakin wujudnya sebarang gerakan untuk menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan perpaduan yang memerintah negara hari ini.

“Jika ada pun usaha seumpama itu, ia hanya propaganda semata-mata bertujuan mengalihkan perhatian menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri di Semenanjung,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata dengan adanya undang-undang antilompat parti di Parlimen, sebarang gerakan menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan tidak mungkin berlaku.

“Negara mempunyai proses demokrasi dan hanya menerusi pilihan raya dapat menentukan kedudukan sebuah kerajaan.

“Justeru, secara peribadi saya tidak setuju tindakan mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan pimpinannya,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *