Akta Anak Negeri Labuan Diwujudkan, Kata Armizan

Menteri di JPM Armizan Mohd Ali berkata Akta Anak Negeri diwujudkan khusus untuk mengadili pelbagai kes berkaitan adat istiadat kaum bumiputera di Labuan.

LABUAN: Akta Anak Negeri khusus untuk Wilayah Persekutuan Labuan akan diwujudkan sebagai usaha memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Mahkamah Anak Negeri di pulau bebas cukai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali berkata akta itu akan menjadi undang-undang khusus untuk proses perundangan Mahkamah Anak Negeri di Labuan.

Katanya, keperluan mewujudkan akta ini adalah kerana selama ini Wilayah Persekutuan Labuan mengguna pakai enakmen anak negeri Sabah.

“Selain menambah baik proses perundangan, akta itu diwujudkan khusus untuk mengadili pelbagai kes berkaitan adat istiadat kaum bumiputera (bukan Islam) di Labuan.

“Proses awal untuk mewujudkan akta ini telah dimulakan dengan bantuan dan kerjasama pejabat peguam besar Sabah dan usaha seterusnya akan disegerakan melalui perundingan dengan pelbagai pihak termasuk bahagian dasar Jabatan Perdana Menteri, pejabat Penasihat Undang-Undang dan universiti tertentu yang mempunyai kepakaran dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat berkenaan perkembangan penstrukturan Mahkamah Anak Negeri Wilayah Persekutuan Labuan.

Mahkamah Anak Negeri Labuan sebelum ini di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri selepas penstrukturan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

Armizan berkata, susulan mewujudkan akta baharu ini, proses penggubalan undang-undang Mahkamah Anak Negeri akan dilaksanakan.

“Usaha untuk menambah baik sistem perundangan Mahkamah Anak Negeri ini perlu bagi memberi keyakinan kepada kaum tertentu bumiputera untuk mencari proses keadilan adat istiadat kaum mereka.

“Kita berharap dengan wujudnya undang-undang khusus ini juga sebagai manifestasi kepada kaum bumiputera tertentu merujuk pendaftaran perkahwinan, sijil anak negeri selain isu-isu berkaitan keistimewaan anak negeri,” katanya.

Armizan berada di Labuan untuk lawatan kerja selama dua hari. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *