Harga Tiket Sehala Penerbangan Ke Tawau RM3,138?

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertikai harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah yang disifatkan terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.

Beliau mendakwa, hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.

“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ni? Pada masa ini, bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19. Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan (grounded) seperti waktu pandemik.

“Tambang terlalu tinggi membebankan rakyat jelata. Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa ‘airline’ tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi untuk memulihkan semua kerugian yang ditanggung semasa COVID19 dalam tempoh yang singkat,” ciapnya di Twitter.

Ka Siong berkata, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah kekerapan penerbangan selagi ada kemampuan kerana tiada lagi sekatan had penumpang sebanyak 50 peratus ketika COVID-19 dikenakan.

Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.

“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pun sudah meluluskan banyak penerbangan sama seperti zaman pra COVID-19. Dijangkakan jawapan standard kerajaan adalah “dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana mekanisme harga dinamik.

“Apa pun, tidak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard terbabit. Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat,” katanya.

Katanya, beliau sendiri pernah dikritik teruk ketika menjawat jawatan Menteri Pengangkutan disebabkan harga penerbangan yang melambung.

“Tahun lalu ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April, tambang ketika itu melebihi RM1,000 kerana tak banyak pesawat boleh beroperasi, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.

“Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi terbabit dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada penumpang.

Katanya, langkah itu juga dibimbangi akan menyebabkan syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti penumpang. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *