Adun Warisan Di Selangor Tak Tanding PRN

Adun Teratai Bryan Lai berkata, beliau telah berjanji kepada Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa beliau akan membantu PH dalam pilihan raya.

KUALA LUMPUR : Satu-satunya Adun Warisan di Semenanjung, Bryan Lai, tidak akan bertanding pada PRN Selangor akan datang selaras dengan keputusan parti.

“Saya tidak akan bertanding sebagai calon bebas,” kata Lai.

Katanya, beliau telah berjanji kepada Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa beliau akan membantu Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya.

“Setelah berkhidmat selama tiga penggal sebagai ahli Majlis Perbandaran Kajang dan satu penggal sebagai Adun Teratai, saya berpuas hati dan gembira untuk menyokong Warisan dalam apa cara sekalipun,” kata Lai.

Shafie telah menyatakan bahawa parti itu tidak akan mengambil bahagian pada PRN tetapi akan memberikan tumpuan kepada mengukuhkan kedudukannya di Sabah dan menyokong kempen PH.

“Masa Warisan melangkah ke Semenanjung tidak begitu tepat,” akui Lai sambil berharap partinya akan terus membantu kejayaan kerajaan persekutuan.

“Saya harap kerajaan perpaduan akan berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang, dan kami akan menjadi sebahagian daripadanya.”

PRN bagi Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Kelantan, Kedah and Terengganu dijangka berlangsung pada Julai.

Pada PRU15, Warisan bertanding di 52 kerusi Parlimen, iaitu 25 di Sabah, satu di Labuan, dan selebihnya di Malaysia Barat.

Parti itu memenangi tiga kerusi, semuanya di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *