Koperal Polis Putus Kaki, Motosikal Bertembung Jip Dipandu Lelaki Disyaki Mabuk Di Jalan Lintas

Mangsa mengalami parah apabila kaki kanannya putus akibat kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Anggota polis putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Jalan Lintas, berhadapan sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berpangkat koperal berusia 35 tahun yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menurut saksi kejadian, pemandu jip dikatakan membuat pusingan U di tempat yang salah.

Katanya, terdapat pemandu lain yang membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu berkenaan, namun kenderaan itu sudah masuk ke laluan sebelah.

“Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran.

“Akibatnya, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu jip tidak mengalami sebarang kecederaan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu jip sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Mohd Zaidi berkata, jip itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *