Cuaca Panas Dijangka Berlarutan Hingga Ogos

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cuaca panas menyebabkan beberapa kawasan dilanda jerebu. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Cuaca yang melanda negara ketika ini dijangka berlarutan sehingga Ogos ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, cuaca panas itu berpunca daripada musim peralihan monsun dan negeri yang paling terkesan di utara dan pantai timur.

“Kawasan di utara lebih teruk dan paling ketara dengan ada kawasan bersempadan dengan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah celcius.

“Kita jangka keadaan ini berlarutan sehingga Ogos kerana peralihan monsun. Selepas Ogos dijangka kembali hujan,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan kepada 70 asnaf di Kota Bharu, Kelantan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi berkata, daerah Jeli merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula semalam.

15 kawasan lain di Semenanjung pula berada pada tahap satu, iaitu pada kategori berjaga-jaga.

Nik Nazmi berkata, susulan musim panas yang berpanjangan tanpa hujan akan menyebabkan beberapa kawasan dilanda jerebu.

“Beberapa kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, termasuk Tanah Merah dan Cheras,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *