Pengawal Keselamatan Cedera Kena Tetak, Diikat Penceroboh Pejabat Imigresen Tenom

Pengawal keselamatan cedera di tangan kiri akibat ditetak.

TENOM: Pengawal keselamatan cedera di tangan kiri selepas ditetak dengan senjata tajam oleh dua individu yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom di sini, semalam.

Dalam kejadian antara 1 hingga 2 pagi itu, pengawal itu yang berusia 30 tahun turut diikat suspek yang dipercayai memecah masuk menerusi pintu belakang pejabat dengan memotong gril.

Suspek kemudian beredar dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan warna merah yang sudah menunggu di halaman belakang pejabat.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pengawal keselamatan itu sudah membuat laporan pada 12.41 tengah hari semalam.

Katanya, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di pejabat Imigresen Tenom pada 10.30 pagi tadi untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati peralatan pejabat dan perkakasan masih berfungsi dan tidak berlaku kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya melaporkan ke pejabat polis berdekatan, malah dinasihat tidak membuat spekulasi dan menyebar perkara yang boleh mengganggu siasatan polis. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *