KV Keningau Terima Anugerah Pengantarabangsaan

KENINGAU: Kolej Vokasional Keningau telah menerima tiga anugerah penglibatan dan kepimpinan dari jabatan pendidikan negeri (JPN) Sabah semasa majlis Anugerah Pamer Keunggulan pada 22 November 2022 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Kolej itu telah menerima anugerah atas penglibatan aktif dalam program-program peringkat antarabangsa serta pengurusan kokurikulum. Anugerah itu disampaikan oleh pengarah jabatan pendidikan negeri Sabah, Datuk Tah Nia binti Haji Jaman, diringi oleh Encik Muddin Beting, timbalan pengarah sektor pembangunan murid.

Pasukan kolej itu diwakili oleh timbalan pengarah akademik, Puan Noorhayati Hashim @ Harun, beserta dua orang guru iaitu Puan Nurazilah Othman dan Dr. Sirhajwan Idek.

Anugerah tertinggi diterima oleh kolej ini adalah anugerah khas penglibatan cemerlang program peringkat antarabangsa yang diterima oleh Puan Noorhayati Hashim @ Harun selaku timbalan pengarah akademik dan pemangku pengarah kolej itu.

Anugerah kedua adalah johan guru cemerlang kokurikulum sekolah menengah yang merupakan anugerah individu untuk Puan Nurazilah Othman dan ianya disusuli oleh anugerah Kepimpinan pengurusan program peringkat antarabangsa yang diberikan kepada Dr. Sirhajwan Idek.

Anugerah-anugerah ini diberikan kepada kolej ini atas pencapaian dan penglibatan para guru dan pelajar dalam pelbagai aktiviti di peringkat antarabangsa seperti pertandingan inovasi, persidangan kajian dan festival seni.

Selain daripada itu, kolej ini sering melaksanakan program-program yang melibatkan organisasi dan individu dari negara-negara lain seperti program pertukaran pelajar dan guru melalui pengajaran dan pembelajaran dalam talian dengan negara-negara Asia Tenggara, kem budaya hibrid dengan Amerika Syarikat, kelas induk (masterclass) dengan jurulatih dari Eropah dan Asia Timur serta sesi meja bulat (roundtable) dengan negara-negara di benua Afrika.

Malah beberapa pelajar kolej ini berjaya menjadi duta dan felo persatuan global seperti Theirworld dan Learning Planet Alliance.

Program-program pengantarabangsaan sebegini telah membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keyakinan para pendidik dan penuntut di institusi ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *