Anwar Mula Tugas Di Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau tiba pada 9.52 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ahli Parlimen Tambun itu sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai ke arah sekumpulan pengamal media di pintu masuk bangunan.

Lebih 50 pengamal media termasuk wartawan, jurugambar dan juruvideo pelbagai agensi dan portal berita sudah menunggu seawal 7 pagi untuk merakam detik sejarah itu.

Terdahulu, kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Affendi Buang tiba pada 7.45 pagi, disusuli Mohd Zuki pada 8.16 pagi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang semalam.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

Anwar bakal membentuk kerajaan perpaduan nasional yang setakat ini sudah membabitkan penyertaan tiga komponen gabungan parti utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *