Calon PBRS Ranau Tidak Direstui BN Sabah, Kata Bung Moktar

Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin berkata, perkara berhubung pemimpin PBRS Ewon Ebin bertanding di Ranau akan diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi.

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah membidas parti komponen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kerana membenarkan ahlinya bertembung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum 19 Nov nanti (PRU15).

Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin berkata, bahagian negeri gabungan itu tidak memberi PBRS lampu hijau untuk bertanding di mana-mana kerusi selain yang diperuntukkan kepadanya, iaitu Pensiangan.

Bagaimanapun, pemimpin PBRS Ranau Ewon Ebin telah memfailkan kertas pencalonan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu, yang diberikan kepada GRS menerusi pakatan pilihan rayanya dengan BN Sabah.

Bung Moktar berkata, BN Sabah telah meminta PBRS menarik diri daripada bertanding di kerusi itu.-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Kami telah memberi notis kepada PBRS untuk tidak mencabar di Ranau atau di tempat lain. Pendirian kami sangat jelas.

“Kami tidak benarkan (tindakan) ini dan PBRS tidak mendapat restu BN Sabah untuk bertanding di kerusi lain kerana ini melanggar perjanjian antara kami dan GRS,” katanya kepada pemberita apabila ditemui ketika berkempen malam tadi.

Bung berkata, BN Sabah tidak boleh bertindak terhadap Ebin kerana beliau bertanding bawah logo PBRS sendiri. Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi.

Dalam kenyataan semalam, Setiausaha PBRS Richard Kastum berkata, presiden parti, Joseph Kurup telah cuba menghubungi Ebin pada hari penamaan calon untuk meminta beliau menarik balik pencalonannya.

Bagaimanapun, katanya, Ebin hanya membaca mesej di telefon bimbitnya selepas keluar dari pusat penamaan calon.

PBRS, katanya, akan terus memberikan kerjasama demi kemenangan calon GRS di Ranau.

GRS memilih Jonathan Yasin, yang memenangi kerusi Ranau atas tiket PKR pada 2018, untuk mempertahankan kerusi itu. Pada 2018, Yasin mengalahkan Ebin, yang bertanding atas tiket BN-Upko. Bagaimanapun, Yasin berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020.

Mengenai ketiadaan ikrar untuk melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak dalam manifesto BN, Bung berkata, ini akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya BN Sabah yang akan dilancarkan hujung minggu ini.

“Pada dasarnya, mereka telah bersetuju dengan permintaan ini,” katanya sambil menambah, manifesto bahagian negeri sedang dimuktamadkan.

Berhubung hak Sabah ke atas 40% daripada hasilnya, Bung berkata, kerajaan negeri dan persekutuan harus menyelesaikan perkara itu secara baik. Mesti ada mekanisme lain yang dapat memuaskan kedua-dua pihak jika keseluruhan 40% itu tidak dapat diserahkan sekarang, tambahnya.

“Bukannya saya tidak setuju dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi saya fikir kita mesti mula dengan yang kecil. Sejak 1963, nampaknya amat sukar untuk mereka beri walaupun satu peratus, apa lagi 40%.

“Kita mesti buat permintaan yang relevan. Saya lebih suka kita kejar matlamat yang realistik,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *