Tak Biasa Dengar Nama, Pengundi Persoal Motif Warisan Tanding Di Semenanjung

Wee Choo Keong (tengah) mengintai kerusi Parlimen Wangsa Maju dalam pertembungan enam penjuru. (Gambar Wee Choo Keong)

KUALA LUMPUR: Pengundi di Lembah Klang berkemungkinan menjauhi Warisan terutamanya apabila mereka tidak biasa dengan parti yang berpangkalan di Sabah itu.

Tinjauan rambang FMT mendapati terdapat beberapa pengundi mempersoalkan motif Warisan yang bertanding di Semenanjung.

Nurulhuda Tahir, 36, yang akan mengundi di Wangsa Maju pada pilihan raya umum, berkata dia kenal parti itu tetapi tidak tahu ia bertanding di kawasannya. “Saya tidak tahu siapa calonnya.”

Katanya, dia berhati-hati dengan motif parti itu.

“Saya rasa Warisan mahu memecah undi,” katanya yang menambah dia terkejut melihat “terlalu ramai” calon bertanding di kawasannya.

Warisan bertanding di 26 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Bekas wakil dan PKR, Wee Choo Keong adalah calonnya yang akan berdepan pertembungan enam penjuru di Wangsa Maju.

Terdapat juga pengundi yang mengatakan mereka langsung tidak pernah dengar nama parti Warisan.

G Nadaraj, 52, dari Klang dan R Viveghanantha, 34, dari Kapar berkata mereka tidak sedar mengenai kewujudan Warisan dan oleh itu tidak tahu tentang calonnya yang bertanding di kawasan mereka.

Ditanya pendapatnya mengenai parti berpangkalan di Sabah itu yang mencari undi di Klang, Nadaraj berkata baginya ia tidak masuk akal.

“Apa yang parti itu tahu tentang Klang dan rakyatnya serta sejarah kita? Saya akan berhati-hati dengan parti seperti itu.”

Viveghanantha berkata dia tidak akan mengundi Warisan biarpun parti itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak akan mengundi calon atau parti yang saya tidak kenal,” katanya sambil menambah kehadiran Warisan hanya mengelirukan pengundi.

Kedua-dua kawasan Klang dan Kapar akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru. Warisan meletakkan calonnya Loo Cheng Wee di Klang dan Rahim Awang di Kapar.

Azmi Idris, 64, dari Ampang berkata dia tahu Warisan mempunyai calon di kawasannya tetapi menambah: “Ia tidak akan membuat apa-apa kemajuan di sini dan harus memberi tumpuan kepada Sabah. Semenanjung Malaysia sudah sesak dengan parti.”

Sembilan calon bertanding di Ampang, dengan Warisan meletakkan calonnya Lai Wai Chong. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *