Warisan Tawar Manifesto ‘Ringkas Tapi Mendalam’, Kata Shafie

Presiden Warisan, Shafie Apdal berucap di hadapan pengundi ketika berkempen di Sabah.

KINABATANGAN: Parti Warisan menggariskan lima inti pati dalam manifesto pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang bakal dilancarkan kelak, kata presidennya, Mohd Shafie Apdal.

Tanpa mengulas tarikh manifesto itu akan dilancarkan, beliau berkata, inti pati manifesto parti itu antara lain merangkumi visi memperkukuh perpaduan, selain menawarkan tadbir urus yang telus sekiranya dipilih menerajui kerajaan dan sesebuah kawasan Parlimen.

Shafie berkata Warisan, turut menggariskan misi menawarkan kerajaan bersih dan berintegriti, bersifat inklusif serta adil dalam manifesto berkenaan.

“Kita mahu pemerintahan yang melaksanakan tanggungjawab secara telus serta pemerintahan adil dan saksama agar semua lapisan rakyat berhak mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Manifesto ini ringkas tetapi kandungannya mendalam. Kita lihat nanti bagaimana,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bagi Parlimen Kinabatangan di sini hari ini.

Turut hadir calon Warisan bagi Parlimen berkenaan Mazliwati Abd Malek dan Ketua Wira Warisan Mohd Ismail Ayob yang juga Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan.

Sementara itu, Shafie berkata parti itu tidak akan meletakkan sebarang calon di kawasan itu sekiranya tidak mempunyai keyakinan untuk menang.

Kerusi Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Mazliwati dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin yang juga penyandang kerusi itu selama lima penggal sejak 1999.

Pada PRU14, Bung Moktar menang dengan majoriti 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *