Dulu Tanpa Warisan, PH Tidak Boleh Bentuk Kerajaan

LAHAD DATU: Jika tiada sokongan Parti Warisan (Warisan) di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14) , Pakatan Harapan (PH) tidak akan memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata demikian kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Warisan tidak mampu melakukan apa-apa sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Perdana Menteri itu dilihat mula melakukan serangan terhadap Presiden Warisan yang sebelum ini sering dikaitkan sebagai kroni Tun Mahathir.

“Ada pihak menyatakan saya ini menjadi kroni Mahathir. Hari ini, yang berlawan dengan saya di Semporna adalah (calon) pejuang di Semporna. Hari ini di kawasan-kawasan juga mereka bertembung dengan parti Warisan.

“Terserah kepada dia untuk menyatakan. Saya tidak mahu bertelingkah tapi, cukup untuk saya nyatakan bahawa kita tidak mahu bergabung dengan mana-mana parti, perubahan perlu kita lakukan.

“Itu hak dia untuk menyatakan tapi saya yakin, kalau bukan Warisan di Sabah, mana mungkin dapat membantu PH pada pilihan raya lalu sehingga jumlahnya mencukupi membentu kerajaan,” katanya semasa Majlis Bersama Rakyat hari ini.

Mohd Shafie yang juga penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, apa pun yang ingin dikatakan oleh bekas Perdana Menteri itu merupakan haknya kerana bagi Warisan apa yang penting adalah rakyat.

Walaupun Warisan dikatakan sekadar jaguh kampung yang mencuba nasib di Semenanjung Malaysia, namun Mohd. Shafie meletak sepenuh kepercayaan kepada rakyat.

“Di Parlimen Lahad Datu, di Semporna mahupun di Kota Kinabalu bukan Tun Mahathir yang tentukan siapa menang tetapi rakyat di Sabah yang menentukan siapa akan menang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang dakwaan Tun Mahathir bahawa Warisan tidak mampu buat apa-apa dan hanya sekadar jaguh kampung yang dilihat gagal mengawal wakil rakyatnya daripada melompat.

Mengulas tentang rancangan membentuk blok Borneo bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Mohd. Shafie berkata, beliau akan menyatakan tentang perkara itu apabila sampai pada waktunya.

Pada masa ini, gelombang suara dan frekuensi Sarawak adalah sama dengan Sabah, kedua-duanya ingin mempertahankan hak masing-masing. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *