Calon Bukan Islam Di Beluran Teruskan Keunikan UMNO Sabah – Bung Moktar

BELURAN : UMNO mengekalkan calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen Beluran atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini bagi meneruskan tradisi dan keunikan UMNO di Sabah yang turut dianggotai bumiputera bukan Islam.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO hanya meletakkan wakil bukan Islam sebagai calon bagi merebut kerusi Parlimen itu sejak sekian lama, malah penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga bekas pemimpin UMNO bukan Islam, diberi kepercayaan di Beluran selama lima penggal.

“Di Beluran ini daripada dulu, memang wakil kita bukan Islam dan kita kekalkan sebab inilah keunikan UMNO di Sabah yang tiada di Semenanjung.

“Kita memilih bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat (ahli UMNO Beluran) kerana dia adalah pemimpin bukan Islam yang kita yakin dapat membawa perubahan di Beluran selepas tiada pembangunan ketara selama ini di bawah penyandangnya,” katanya pada pertemuan dengan jentera BN Beluran di sini hari ini.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata bukan mudah untuk BN mendapatkan kerusi Parlimen Beluran berikutan penyandangnya Ronald tetap mahu mempertahankan kerusi itu.

“Bukan senang untuk mendapat kerusi ini kerana ia disandang Naib Presiden Bersatu (Ronald). Sampai pukul 1 tengah hari pada 4 Nov lepas, pemimpin Bersatu ada di rumah (saya) berunding minta kerusi ini, tetapi saya kata tidak. BN mesti ada pemimpin bukan Islam yang ada dalam UMNO di Beluran ini,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, yakin Benedict mampu memenangi kerusi Parlimen Beluran, meskipun terpaksa berdepan dengan Ronald, yang membelakangkan GRS apabila menghantar pencalonan atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon semalam.

Ini kerana Bung Moktar, yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, berkata kemenangan Ronald sebanyak lima kali di Beluran sebelum ini adalah atas kerja kuat jentera BN.

“Orang yang sama, jentera yang sama, logo yang sama membantu Ronald menang sebanyak lima kali dan sekarang dia lawan kita (BN).

“Jadi, tugas kita sekarang ialah jentera yang sama, jangan lagi fikir apa-apa, kita menangkan saja calon kita di Beluran ini,” katanya.

Bung Moktar berkata selaku orang Beluran, Benedict layak mengambil alih tugas Ronald selaku Ahli Parlimen untuk membawa lebih banyak pembangunan dan perubahan di daerah itu.

Katanya, jika BN menang pada PRU15, beliau juga yakin Benedict akan mendapat tempat dalam kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya beliau mengakui misi BN di Beluran begitu besar walaupun yakin kemenangan pasti berpihak kepada Benedict bersandarkan kerja bersungguh-sungguh jentera BN dengan kerjasama anggota GRS seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain iaitu Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *