Polis Sahkan Video Tular Tangkapan Ke Atas Suspek Penjual Syabu Di Inanam

Zaidi berkata, anggota polis yang terlibat dalam tangkapan tersebut menggunakan kekerasan yang minimum sewaktu cuba merebahkan dan menggari suspek.

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan satu video tular memaparkan pergelutan di antara pihak polis dan seorang disyaki penjual dadah dipercayai jenis syabu di Pekan Inanam pada 4 Nov.

Kejadian di dalam video tular berdurasi 53 saat itu, menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah, berlaku lebih kurang pada 12.20 tengah hari sewaktu pihak polis cuba menahan suspek.

Suspek yang cuba melarikan diri, katanya, tiba-tiba menjerit-jerit dan bertindak agresif sebelum direbahkan oleh anggota Pasukan Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu.

“Pada 4 Nov lebih kurang 12.20 tengah hari, bertindak atas maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu, satu tangkapan telah dibuat di kawasan Pekan Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

“Sewaktu proses tangkapan, suspek enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri sambil menjerit-jerit,” ujar Zaidi.

Suspek, seorang lelaki berusia 38 tahun, berjaya digari setelah direbahkan oleh beberapa anggota polis sewaktu kejadian.

Dia kemudian direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Zaidi, anggota polis yang terlibat dalam tangkapan tersebut turut menggunakan kekerasan yang minimum sewaktu cuba merebahkan dan menggari suspek. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *