GEORGE TOWN: Malaysia mesti beralih dari politik lama dan permainan kuasa antara pemimpin yang berselisih, kata Presiden Warisan Shafie Apdal sambil menggesa pengundi memilih parti yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Katanya, selepas bersama Umno selama hampir 32 tahun dan menjadi naib presidennya, sebelum meninggalkan untuk menubuhkan Warisan dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selama enam tahun, “perselisihan” antara Dr Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim tidak pernah reda dan seolah-olah mengikuti ke mana saja beliau pergi.
“Dalam Umno, ada Mahathir dan Anwar. Dan dalam PH, mereka lagi. Bila PH berkuasa, Anwar berada dalam penjara. Selepas Anwar keluar penjara, kita hilang kuasa.
“Ini kerana timbul persoalan tentang siapa yang akan jadi PM, siapa ketua, dan siapa bos,” katanya kepada lebih 700 orang di majlis jamuan makan Warisan Pulau Pinang di Dewan Perhimpunan China Pulau Pinang, malam tadi.
Bekas ketua menteri Sabah itu turut mengimbau kembali pilihan raya negeri (PRN) pada September 2020, di mana beliau tewas kepada gabungan yang diketuai Bersatu dan Umno. Shafie berkata pada hari penamaan calon, Anwar tergesa-gesa pulang ke Kuala Lumpur.
“Dia beritahu saya ‘Saya yakin, saya ada sokongan kukuh untuk jadi PM.’ Saya macam, apa itu sokongan kukuh? Rupa-rupanya, di belakang saya, walaupun berkawan, dia buat perjanjian dengan Ahli Parlimen Umno, dan mendapat akuan bersumpah untuk jadi PM.
“Sebab itu saya percaya konsep ‘khemah besar’ tak berfungsi,” kata Shafie, memetik contoh Gerakan dan parti BN lain yang kalah di Pulau Pinang.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak memperkecilkan kedua-dua pemimpin itu.
“Saya hanya mahu permainan kuasa seperti itu berakhir dan pemimpin mendengar apa yang pengundi mahu.”
Shafie juga mengulangi pendiriannya baru-baru ini bahawa tiada rancangan untuk berunding dengan mana-mana parti mengenai kerusi, dengan berkata Warisan tidak mahu terpalit dengan masalah.
“Kalau anda lihat Muda sekarang, anda boleh dengar beberapa puak (dalam PH) menolak idea mereka menyertai Pakatan. Politik bukan tentang parti, ia tentang rakyat dan apa yang mereka mahu. Khemah besar bukan caranya,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost