Jangan ‘Main Api’ Dengan BN, Bung Beri Amaran Kepada Ongkili

Bung Moktar Radin berkata PBS sudah berkali-kali mengkhianati Barisan Nasional.

PENAMPANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin memberi amaran kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili supaya tidak “bermain api” dengan gabungan itu.

Ia susulan tindakan Ongkili menghentam BN dengan mendakwa ada komponen gabungan itu menggunakan “perkhidmatan” pendatang asing tanpa izin (Pati) pada kongres perwakilan tahunan parti berkenaan, baru-baru ini.

“Saya ingin memberi amaran kepada presiden PBS, jangan cuba bermain api, kalau berkawan hormati kawan, Umno dan BN tidak pernah khianati kawan.

“PBS sudah khianati BN berkali-kali, cukup-cukuplah PBS, jangan jolok sarang tebuan, kalau dijolok padah rasanya, sebab Umno dan BN ini bukan melukut di tepi gantang, kita parti yang kuat, kita parti keramat, dia (Ongkili) tuduh kita macam-macam, dia yang melukut di tepi gantang.

“BN memerintah, dia pun ikut memerintah, satu kerusi Parlimen pun jadi menteri juga, mana boleh begini,” katanya pada konvensyen BN Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC).

Sementara itu, Bung turut mendakwa PBS sebelum ini melakukan banyak perkara yang menghancurkan negeri.

“Saya belum lagi bongkar PBS ini, banyak lagi dia buat untuk menghancurkan negeri Sabah ini, tunggulah dekat-dekat pilihan raya. Dia (PBS) sudah mula gendang, sekarang kita palu dia punya gendang, dia salah orang itu, dia ingat dia boleh ugut saya, minta maaf sama dia,” katanya.

Terdahulu, Presiden PBS Maximus Ongkili mendakwa, sebuah komponen BN menggunakan Pati di Sabah untuk kepentingan politik mereka.

Tanpa menyebut parti mana, beliau berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi daripada Pati terbukti dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pati di Sabah.

Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) turut mendakwa BN selama ini gagal menangani masalah Pati di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *