Biar Dilabel ‘Gila’, Ongkili Bersuara Bagi Rakyat, Kata Pemimpin PBS

Maximus Ongkili mendakwa sebuah komponen BN menggunakan PATI di Sabah untuk kepentingan politik mereka.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) membidas kenyataan bekas ketua menteri Salleh Said Keruak yang melabelkan presiden parti itu Maximus Ongkili “gila” kerana mendakwa ada parti komponen Barisan Nasional (BN) menggunakan “perkhidmatan” pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk kepentingan politik mereka.

ADUN Telupid Jonnybone Kurum berkata, pendedahan dibuat Ongkili adalah bagi pihak rakyat Sabah yang selama ini sangat mengambil berat mengenai isu PATI di negeri itu.

“Malangnya Ongkili dilabel sebagai ‘gila’ dan tidak bersyukur kerana bersuara bagi pihak rakyat Sabah akan ‘dosa’ lampau salah satu parti komponen BN.

“Susulan pendedahan itu juga, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menuduh Ongkili sebagai tidak berterima kasih, manakala Salleh melabel Ongkili sebagai ‘gila’.

“Beliau (Ongkili) hanya bercakap berdasarkan fakta yang ditulis dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran ramai pendatang tanpa izin di Sabah, bagi kami, tidak mengapa Ongkili digelar gila kerana bercakap bagi pihak rakyat,” katanya.

Jonnybone yang juga setiausaha politik kepada Ongkili berkata, bekas perdana menteri Najib Razak turut mengakui pemberian “projek IC” telah berlaku pada zaman pemerintahan BN diterajui Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kenyataan dibuat Salleh dan Bung itu terlalu mengikut emosi sedangkan Najib sendiri mengakui perkara berkenaan berlaku.

“Presiden PBS mendedahkan dosa masa lalu BN dan pengkhianatannya terhadap perlembagaan dan hak. Ya, kami sebahagian daripada BN ketika itu, tetapi kami pernah menyuarakan pendirian dan membuat aduan, malah memberikan cadangan, tetapi semuanya tidak pernah diendahkan.

“Seperti ditegaskan oleh presiden semasa kongres, sudah tiba masanya untuk membetulkan masa lalu dan menyelesaikan ancaman PATI di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Salleh menyifatkan Ongkili sebagai “gila” dan tidak kenang budi susulan kenyataannya menyerang Barisan BN, baru-baru ini.

Katanya, dakwaan Ongkili yang mengatakan ada komponen BN menggunakan PATI untuk kepentingan politik adalah fitnah semata-mata.

Bung dalam ucapannya sempena konvensyen BN Sabah, hari ini, turut memberi amaran kepada Ongkili supaya tidak “bermain api” dengan gabungan itu susulan dakwaan Ahli Parlimen Kota Marudu itu.

Ongkili mendakwa, sebuah komponen BN menggunakan PATI di Sabah untuk kepentingan politik mereka.

Tanpa menyebut parti mana, beliau berkata penglibatan parti terbabit meraih undi daripada PATI terbukti dalam RCI mengenai pendatang di Sabah.

Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) turut mendakwa BN selama ini gagal dalam menangani masalah PATI di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *