Indonesia Sambut Aidilfitri Isnin Ini?

Ratusan penumpang menanti giliran menaiki bas masing-masing di terminal di Bekasi, menuju kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri.

JAKARTA: Indonesia berkemungkinan besar menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei ini, sekiranya anak bulan dapat dilihat dari tiga bandar di negara berkenaan iaitu Kota Sabang, Banda Aceh, dan Jantho (Aceh Besar).

Peneliti di Pusat Sains Antariksa Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Andi Pangerang berkata,

penentuan dilakukan menggunakan kaedah rukyah dan hisab.

“Secara umumnya, penentuan ini dilakukan secara pemantauan (rukyah) atau perhitungan (hisab),” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Katanya, cara lebih baik menentukan perlaihan ke bulan Syawal adalah mengikut rukyah.

“Ia selari dengan hadis Rasulullah SAW iaitu – Berpuasalah jika kalian melihat hilal dan berbuka (berhari raya)-lah jika kalian melihat hilal, dan jika tertutup maka kadarkanlah (kira-kirakan/hitunglah) menjadi 30 hari,” katanya.

Menurutnya, sekiranya anak bulan dapat dilihat pada petang tarikh 29 Ramadan, malamnya sudah memasuki 30 Ramadan dan keesokannya memasuki Syawal.

“Perlu diingat bahawa pergantian hari dalam tahun Hijrah bermula selepas matahari terbit,” katanya.

Menurutnya, jika berpandukan kriteria menteri-menteri agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura (MABIMS) yang baru, hilal ditentukan mengikut altitud 3 darjah dan longitud 6.4 darjah.

“Keadaan hilal di Indonesia dari segi ketinggian sebenarnya sudah memenuhi kriteria ditetapkan MABIMS kerana berada pada sudut 3.75 darjah (di Merauke) hingga 5.55 darjah di Sabang.

“Nilai altitud dan longitud ini diperoleh ketika matahari terbenam,” katanya.

Menurutnya, walaupun seluruh Indonesia belum memenuhi kriteria ditetapkan, namun tiga bandar berkenaan sudah memenuhi kriteria MABIMS.

“Sekiranya hilal dapat dilihat di Kota Sabang, Banda Aceh, dan Jantho, ia bermakna Indonesia akan menyambut 1 Syawal pada 2 Mei ini.

“Namun, ia mungkin tidak sama dengan negara jiran seperti Malaysia, Brunei dan Singapura yang bakal menyambut 1 Syawal pada 3 Mei nanti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, antara ketiga-tiga negara berkenaan, hanya Malaysia yang berpotensi menyambut lebaran hari yang sama dengan Indonesia.

“Ini kerana jika mengikut kiraan sama, Pulau Langkawi dan Perlis memenuhi kriteria ditetapkan MABIMS,” katanya.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia akan melaksanakan rukyah hilal untuk menentukan 1 Syawal pada 1 Mei ini di 31 lokasi seluruh negara. -Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *