Pengurus Pusat Pelancongan Di Ranau Rugi RM444,600 Diperdaya Macau Scam

RANAU: Seorang pengurus pusat pelancongan di sini, kerugian RM444,600 selepas terpedaya dengan kegiatan penipuan Macau Scam, pada 6 April lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu hanya menyedari ditipu sindiket berkenaan selepas membuat pemindahan wang ke beberapa akuan tidak dikenali sebelum membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, berkata kejadian berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

Katanya, suspek memaklumkan nama mangsa digunakan untuk membuka satu syarikat dan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM26,000.

“Mangsa yang menafikan terbabit dalam syarikat berkenaan kemudian disambungkan ke pejabat polis Kedah dan bercakap dengan seorang lagi suspek mengaku Sarjan Tengku Iskandar.

“Suspek terbabit mendakwa mangsa tersenarai dalam kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, mangsa kemudian disambungkan pula kepada seorang lagi pegawai atasan mendakwa boleh membatalkan waran tangkap, namun mangsa perlu memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan.

Katanya, mangsa yang terpedaya terus menuruti arahan berkenaan dan mendepositkan wang ke beberapa akaun secara berperingkat.

“Mangsa turut membuat pemindahan wang sebanyak RM68,300 ke akaun suspek sebelum mulai curiga selepas terus diarahkan memasukan RM216,000 ke akaun seterusnya.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Simiun berkata, kejadian berkenaan kes ketiga dilaporkan berlaku di daerah ini membabitkan modus operandi sama. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *