Sabah FC Lepaskan Saddil Rertai Skuad Garuda

Pemain Sabah FA Saddil Ramdani (kiri)

KOTA KINABALU : Sabah FC bersetuju melepaskan pemain sayapnya Saddil Ramdani untuk menyertai pasukan Indonesia beraksi pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, bermula esok (29 April).

Sabah FC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas perbincangan pihak pengurusan pasukan itu dengan Ketua Jurulatih Skuad Garuda Shin Tae-Yong dan Pengarah Teknikal Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Indra Sjafri.

“Satu persetujuan dicapai untuk membenarkan Saddil menyertai skuad bawah 23 tahun Indonesia agar dapat membantu pasukan (tersebut) pada perlawanan pertama menentang Vietnam pada 6 Mei ini.

“Namun, Saddil perlu kembali ke Kota Kinabalu pada 10 Mei bagi menghadapi dua perlawanan penting Sabah FC iaitu Piala FA melawan Kelantan United pada 13 Mei dan Pulau Pinang pada 17 Mei,” menurut kenyataan itu.

Sabah FC juga bersetuju untuk melepaskan Saddil bersama skuad Indonesia lebih awal bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Ketiga Piala Asia 2023 antara 18 Mei hingga 15 Jun ini.

Kalendar FIFA hanya bermula pada 30 Mei dan berakhir 14 Jun.

“Sabah FC mengucapkan selamat maju jaya buat Tae-Yong dan pasukan Indonesia bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Hanoi dan Piala Asia 2023,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *