Jangan Ambil Kesempatan Naik Harga Tiket Penerbangan, Kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan.

BERA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Katanya, berdasarkan laporan media harga tiket dikatakan naik sehingga 500% pada musim perayaan, dan beliau menyifatkan ia sebagai “agak melampau” kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri berkenaan selain menaiki kapal terbang.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata beliau telah meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi meneliti jika berlaku pelanggaran bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berhubung kenaikan harga itu.

“KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP…tindakan segera perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan pada waktu (sambutan) Hari Raya atau puasa untuk memberi tekanan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pasar raya MG CoopMart milik Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera Berhad (Kopbera) dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di sini hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *