KUALA LUMPUR : Hanya selepas kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjalankan siasatan mengenai kenaikan harga tambang sempena Aidilfitri ini, harga tiket khususnya ke Sabah menurun secara drastik menyaksikan purata kurang daripada RM1,000 sehala.
Kelmarin, semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi bagi dua syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia mendapati, harga tambang kapal terbang melonjak 20 kali ganda berbanding harga asal antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 sehala.
Semakan semalam pula mendapati, harga tiket penerbangan untuk perjalanan tiga hari sebelum 3 Mei ini sudah berubah, menyaksikan harganya jauh lebih rendah namun masih berada pada kadar berbeza-beza mengikut kelas dan jadual penerbangan.
Bagi penerbangan menggunakan AirAsia pada 1 Mei ini, harga tiket dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tawau dikenakan antara RM579 hingga RM990, diikuti 2 Mei sebanyak RM449 hingga RM519 manakala 3 Mei lebih murah iaitu RM319 hingga RM469.
Walhal, sebelum ini, harga tiket pada waktu sama bermula dari RM649 hingga RM1,149 dan masa penerbangan hanya mengambil masa kurang daripada tiga jam.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bagi tempoh sama menjelang hari raya menyaksikan harga tambang dikenakan antara RM359 hingga RM939 (1 Mei), RM259 hingga RM559 (2 Mei) dan RM259 hingga RM319 (3 Mei).
Sementara itu, harga tambang ke kedua-dua destinasi tersebut menggunakan MAS turut menunjukkan penurunan, contohnya ke Tawau, caj dikenakan antara RM537 hingga RM2,471, sedangkan sebelum ini, syarikat penerbangan berkenaan mengenakan harga RM1,892 hingga RM3,781.36.
Selain itu, untuk destinasi ke Kota Kinabalu, MAS mengenakan caj harga antara RM523 hingga RM2,118 bergantung kepada kelas penerbangan dan tempoh masa yang dijadualkan.
Bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak menggunakan AirAsia, caj dikenakan antara RM159 hingga RM269 sedangkan semakan semalam mencecah sehingga lebih RM300 manakala pesawat MAS pula berharga RM249 hingga RM450 untuk penerbangan kurang daripada satu setengah jam.
Dalam pada itu, destinasi dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru menyaksikan harga purata penerbangan termurah iaitu RM59 hingga RM99 (AirAsia) dan RM161 hingga RM418 (MAS). Bagaimanapun, harga tersebut tidak tetap dan akan berubah pada bila-bila masa.
Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang turut menyaksikan tiket penerbangan rendah iaitu antara RM79 hingga RM150, dan MAS bermula RM106 hingga RM330 dalam tempoh tiga hari sebelum 3 Mei ini.
Destinasi dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan pula pada waktu sama menyaksikan harga tambang kapal selama satu jam lima minit bermula dari RM119 hingga RM369.
Namun, secara puratanya masih berada di bawah paras RM800 sedangkan sebelum ini ia mencecah lebih daripada harga tersebut.
Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan, harga tambang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda atau 2000 peratus dari harga asal yang disifatkan ‘mencekik darah’.
Rentetan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengarahkan Mavcom dan syarikat terbabit melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu kenaikan harga tambang kapal terbang pada musim perayaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. N. Marimuthu menyifatkan, tindakan syarikat penerbangan menurunkan harga pada saat akhir hanya gimik semata-mata.
Beliau musykil mengapa penyedia perkhidmatan itu tidak meletakkan harga rendah sejak dari awal sekali gus membolehkan orang ramai merancang kewangan mereka untuk menyambut perayaan tidak lama lagi.
“Mana ada dalam sejarah negara syarikat penerbangan menurunkan harga tiket secara mendadak tanpa sebarang punca. Ini semua disebabkan kemarahan rakyat, jadi untuk meredakan keadaan, mereka terpaksa menurunkan harga. Kenapa tidak turunkan sahaja sebelum ini?
“Walaupun mereka sudah turunkan harga tiket, kami tetap akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Isnin ini untuk suarakan isu harga tiket naik. Bukan sahaja kapal terbang, malah melibatkan pengangkutan darat dan harga barang-barang asas lain,” katanya ketika dihubungi. – Utusan
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost