Shafie Tidak Pernah Iktiraf Tuntutan Sulu, Kata Warisan

Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman berkata, kenyataan itu menunjukkan Anifah Aman sanggup melakukan apa sahaja untuk menyalahkan orang lain dan beliau mungkin tidak menyedarinya. – Foto Facebook Azis Jamman

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal tidak pernah mengiktiraf tuntutan Sulu, sebaliknya mengarahkan Putrajaya untuk mengambil serius isu tuntutan Filipina ke atas Sabah sebelum ini.

Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman berkata, kerajaan negeri yang diterajui Warisan sebelum ini tiada kuasa diplomatik bagi menguruskan isu membabitkan dua negara dan ia adalah urusan diplomatik kerajaan persekutuan.

“Adakah dengan mengatakan Putrajaya perlu mengadakan perbincangan diplomatik dengan kerajaan Filipina dan mendesak agar negara itu mengugurkan tuntutan berkenaan bermakna Shafie mengiktiraf tuntutan Sulu?

“Perbincangan diplomatik di sini bermaksud Putrajaya dan kedutaan Filipina perlu duduk bersama dan menyelesaikan isu tuntutan itu.

“Perkataan “perbincangan” cuba dimanipulasi oleh Datuk Seri Anifah Aman untuk menyalahkan Shafie,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, perkataan “perbincangan” seperti yang dinyatakan Shafie bukanlah bermakna mengiktiraf.

Katanya, kenyataan itu menunjukkan Anifah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyalahkan orang lain dan beliau mungkin tidak menyedarinya.

“Anifah perlu memahami bahawa ”perbincangan” dan ”pengiktirafan” adalah dua perkara yang membawa maksud berbeza.

“Istilah “perbincangan” itu bermaksud dua negara berjumpa dan selesaikan isu berbangkit,” katanya.

Azis turut memberi contoh apabila Ukraine mengajak Rusia berbincang mengenai penjajahan negara itu terhadap mereka.

Soal Azis lagi, adakah perbincangan itu bermaksud Ukraine mengiktiraf penjajahan Rusia ke atas mereka?

“Sudah pasti jawapannya tidak, namun mengapa Presiden Ukraine menyatakan dia terbuka untuk berbincang dengan Rusia?

“Jawapannya, kerana penyelesaian sesuatu konflik hanya boleh dilakukan menerusi proses perbincangan dengan duduk berbincang secara bersemuka dengan harapan isu berkenaan dapat diselesaikan,” katanya.

Azis turut mendakwa Anifah telah gagal menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah ketika memegang jawatan sebagai Menteri Luar dari 2009 hingga 2018.

Malah katanya, Anifah juga banyak menghabiskan masa di luar negara sehingga dia ditolak rakyat Kimanis pada pilihan raya.

Terdahulu, Anifah menyalahkan Shafie dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang kurang pengalaman dalam mencetuskan masalah kepada negara berhubung pertikaian mengenai kedaulatan Sabah.

Anifah berkata, Shafie yang kurang pengalaman dan pengetahuan mendorong Filipina menjadi lebih berani melakukan tuntutan terhadap Sabah dua tahun lalu.

Beliau juga mengkritik Shafie bertindak “melulu” dengan mengakui dakwaan itu secara tidak langsung, apabila Shafie berkata beliau mahu mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Filipina. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *