Sabah Mansuh Borang Isytihar Kesihatan Di Pintu Masuk

Kerajaan Sabah bersetuju dengan saranan Jabatan Kesihatan Negeri untuk memansuhkan pengisian borang e-HDF untuk semua pengembara yang tiba di pintu masuk negeri itu.

KOTA KINABALU: Semua individu yang tiba di Sabah tidak lagi perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan (e-HDF) mulai hari ini.

Sebaliknya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, pengembara hanya perlu menunjukkan status vaksin dan risiko dalam aplikasi MySejahtera.

“Kerajaan negeri bersetuju dengan saranan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk memansuhkan pengisian e-HDF bagi mana-mana individu yang tiba di pintu masuk negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi berkata, Sabah mencatatkan 622 kes baharu Covid-19 hari ini, berkurangan 223 kes berbanding semalam.

Katanya, jumlah itu dipengaruhi pengurangan kes baharu di daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

“Bagaimanapun peratusan jangkitan sporadik masih tinggi, hampir 64% dan ini bermakna risiko jangkitan kekal tinggi, khususnya di tempat awam.”

Sebanyak 612 atau 99.39% kes baharu dalam Kategori 1 dan 2, dua kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan enam kes dalam Kategori 5. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *