“Jaga Sabah Musa,” Bekas Ketua Menteri Terkenang Nasihat Allahyarham Rahimah

KOTA KINABALU : “Jaga Sabah Musa”, itu nasihat  Allahyarham Toh Puan Rahimah Stephens setiap kali mengakhiri perbualan yang akan sentiasa diingati oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Musa berkata beliau bertuah kerana berpeluang mengenali Allahyarham yang tidak kekok untuk memberitahunya tentang kerisauan dan harapannya terhadap Sabah.

Beliau berkata Sabah kehilangan seorang wanita yang berbudi pekerti luar biasa dan telah mempelopori peranan wanita dalam perkhidmatan awam sebagai Menteri Kabinet wanita pertama Sabah di bawah kerajaan Berjaya.

“Mewakili keluarga saya, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Toh Puan Rahimah Stephens atas pemergian beliau.

“Toh Puan seorang yang merendah diri dan baik serta cekal walaupun berdepan dengan begitu banyak cabaran termasuk kematian tragis suaminya, bekas Ketua Menteri Allahyarham Tun Fuad Stephens.

“Kecekalan beliau seiring dengan semangatnya untuk hidup yang dicerminkan melalui minatnya terhadap tarian sehingga ke usia emasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahimah, 91, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada kira-kira 4 pagi tadi dan selamat dikebumikan pada tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *