AKSI penyanyi Lan Solo berpegangan tangan dengan seorang wanita dalam video muzik (MV) 5 Kaki 4 Inci mencuri perhatian ramai.
Rata-rata meluahkan rasa bimbang jika perbuatan Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 37, itu boleh mengundang perasaan cemburu isterinya, Sheila Hassim.
Bagaimanapun kata Lan, isterinya mengetahui tentang babak berkenaan memandangkan dia berada bersamanya sepanjang penggambaran MV tersebut di Sabah.
“Saya seorang yang setia pada yang satu. Apa yang ditampilkan dalam MV itu hanya sekadar kerja dan kami profesional. Isteri saya pun memahami ia hanya kerja saja.
“Sepanjang pengambaran MV itu pun isteri ada bersama saya. Jadi, saya tak berasa risau pun dengan babak berpegangan tangan itu. Cuma, saya risau perbuatan saya itu disalah anggap oleh pihak luar.
“Apa-apa pun saya bersyukur selepas setahun lagu ini disimpan, akhirnya dapat juga dilancarkan. Boleh katakan dalam 10 hingga 20 peratus juga ada bahasa Dusun dalam lirik lagu itu,” ujarnya kepada mStar.
Lan ditemui ketika majlis pelancaran video muzik lagu terbaharunya berjudul 5 Kaki 4 Inci di Red Box, The Garden Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
MV berkenaan menampilkan Ratu Cantik Kota Kinabalu 2019 iaitu Kerinah Mah sebagai wanita yang berpasangan dengan Lan.
“Saya seorang yang setia pada yang satu. Apa yang ditampilkan dalam MV itu hanya sekadar kerja dan kami profesional” – Lan Solo
Dalam perkembangan lain, Lan berkata dia bersyukur sengketa dengan gitaris, Rody sudah pun berakhir dan dia tidak mempunyai perancangan untuk kembali bersama dengan kumpulan Kristal.
Kata Lan dia menghormati kumpulan lamanya itu sudah mempunyai penyanyi lain namun terbuka jika diberi peluang untuk bekerjasama pada masa akan datang.
“Saya dah ada bersama Kristal X, mereka pun dah ada vokalis. Saya rasa tak patutlah (kembali bersama) ibarat mereka ada perkahwinan baharu, takkan saya nak kacau rumah tangga mereka dan perlu hormati mereka.
“Saya pun mengharapkan penghormatan kepada keluarga baharu saya, Kristal X. Tapi saya tidak pernah menolak jika ada kerjasama yang baik akan datang. Sebenanrya apa yang jadi, mematangkan diri saya.
“Tak perlu ada perkara negatif dan tidak payah nak bermusuh. Mungkin ketika itu, amarah yang menguasai diri,” katanya.
Sebelum ini mStar melaporkan hubungan Lan dan Rody kembali pulih selepas empat tahun tidak bersemuka disebabkan perselisihan faham.
Lan turut memuat naik foto bersama Rody di laman Instagram selepas terserempak secara tidak sengaja di surau Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 6 Disember tahun lalu.