Kenali Rafflesia Keithii Lebih Dekat Di Poring, Ranau

Gambar ihsan Taman-taman Sabah

KOTA KINABALU, 13 Jan : Pengunjung ke Sabah tidak lagi perlu masuk jauh ke dalam hutan untuk mengenali spesies bunga Pakma yang jarang ditemui atau dikenali Rafflesia Keithii kerana ia boleh dilihat lebih dekat di Pusat Pemuliharaan Rafflesia, Stesen Mata Air Panas Poring, Ranau.

Pegawai Penyelidik Botani Taman-Taman Sabah (TTS) Matsain Mohd Buang berkata di pusat pemuliharaan itu hanya terdapat satu jenis bunga Rafflesia sahaja iaitu Rafflesia Keithii, sekali gus menjadi salah satu ikon pemuliharaan di TTS.

Di Sabah hanya terdapat tiga spesies bunga Rafflesia iaitu Rafflesia Keithii yang biasanya tumbuh di tanah rendah manakala Rafflesia Pricei pula boleh ditemui di tanah tinggi seperti di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, Keningau serta Tenom sementara Rafflesia Tengku Adlinii di Gunung Trusmadi dan Maliau Basin.

“Untuk bulan ini sahaja (Januari) empat kuntum bunga Rafflesia Keithii sudah mekar di pusat pemuliharaan ini dan empat tunas lagi akan berkembang dalam tempoh terdekat dan mekar bagi tempoh kira-kira tujuh hari sahaja,” katanya kepada Bernama.

Matsain berkata sepanjang tahun lepas, 11 kuntum bunga Rafflesia mekar di pusat pemuliharaan itu dengan saiz antara 70 sentimeter (cm) hingga 90cm.

Beliau berkata pada 30 April 2017 pusat pemuliharaan itu pernah merekodkan ukuran lilit bunga Rafflesia Keithii berdiameter 90cm.

Selain di Poring, bunga Rafflesia Keithii juga terdapat di Kampung Kokob, Kampung Waang, Kampung Maukab dan Kampung Kesisingon dalam daerah Ranau selain pernah mekar di Kampung Bongol, Kota Belud.

Katanya bunga Rafflesia Keithii lebih besar berbanding bunga Rafflesia Pricei dengan anggaran berat bunga Rafflesia Keithii ialah 10 hingga 20 kilogram (kg) manakala bunga Rafflesia Pricei tiga hingga tujuh kg, masing-masing mempunyai lima kelopak.

Jelasnya bunga Rafflesia yang juga sejenis parasit tumbuh pada pokok lain (tetrastigma spp), pada peringkat awalnya berwarna coklat sebelum beransur-ansur bertukar kepada warna ‘peach’ apabila mekar. 

Bunga Rafflesia mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mekar, tetapi hanya mampu hidup selama seminggu dengan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan untuk menarik serangga seperti lalat untuk proses pendebungaan.

Matsain berkata bunga Rafflesia di pusat pemuliharaan itu tidak bermusim dan akan mekar sepanjang tahun, namun bergantung kepada bilangan tunas yang ada pada perumah.

Menurutnya apabila Rafflesia Keithii mekar, TTS akan merekodkan data-data, antaranya tarikh mekar, jenis spesies, sukatan diameter bunga, kelembapan persekitaran selain mengambil gambar bunga berkenaan.

Dari segi perundangan, bunga Rafflesia tersenarai dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 sebagai tumbuhan yang dilindungi sepenuhnya.

“Apabila bunga Rafflesia mekar di pusat pemuliharaan itu, pengunjung yang masuk akan dikenakan bayaran RM10 dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, manakala ketika ia tidak berbunga mekar (cuma boleh lihat tunas sahaja), bayaran masuk RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak dikenakan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *