Polis Kota Kinabalu Berjaya Menahan Lelaki Pecah Kereta Curi Wang Lebih RM230,00

Sebahagian wang tunai yang berjaya dirampas daripada suspek selepas berjaya ditahan oleh anggota FRM Balai Polis Kota Kinabalu. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berjaya ditahan pasukan First Response Motorcycle (FRM) Balai Polis Kota Kinabalu selepas memecah cermin sebuah kereta dan melarikan wang tunai berjumlah RM230,744, Isnin lalu.

Kejadian kira-kira 11.45 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 40 tahun meletakkan kereta jenis Nissan Almera di parkir hentian bas di Likas Square.

Dia dipercayai ingin mengambil hasil jualan perniagaan runcit keluarganya di bangunan terbabit sebelum menyedari alat penggera kenderaan berbunyi dan cermin dipecahkan sebalik kembali ke kereta.

Kemudiannya, dia mendapati dua beg berisi wang tunai sebanyak RM230,744 telah dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, orang awam yang melihat kejadian itu mendakwa suspek memecahkan cermin di bahagian pemandu sebelum mengambil dua beg dan terus melintas jalan.

Katanya, orang awam memaklumkan anggota FRM yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum mengejar suspek.

“Anggota FRM memintas dan menahan kereta Proton Iswara dinaiki dua lelaki di tepi jalan di Jalan Teluk Likas, berhampiran sebuah sekolah. Mereka menahan pemandu kereta namun seorang lagi suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sempat melarikan diri,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan kereta suspek membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM185,744 manakala baki wang sebanyak RM45,000 dibawa lari seorang lagi suspek.

Katanya, suspek yang ditahan berusia 56 tahun dan suspek yang masih bebas dikenal pasti sebagai Fredius George, berusia 33 tahun.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan. Suspek terbabit sudah dikenal pasti dan maklumat disalurkan pada semua elemen yang bertugas di lapangan bagi mengesan suspek masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *