Amang seksual: Naim Daniel Berdepan Penjara 20 Tahun, Sebatan

Naim Daniel

PUTRAJAYA : Penyanyi Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun, bulan lalu.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu ‘Sumpah’ itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan, bagi tujuan seksual, di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.

Dalam prosiding ini, pelakon Projek: High Council diwakili peguam, Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes. 

Minggu lalu, media melaporkan suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.

SumbeR: SINAR

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *