Warisan Keningau Masih Utuh, Walaupun Beberapa Pemimpin Keluar Parti, Kata Loretto

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua menemui ahli jawatankuasa Warisan Bahagian Keningau hari ini.

KENINGAU: Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua menegaskan bahagian parti itu di Keningau masih utuh, walaupun beberapa pemimpinnya keluar parti baru-baru ini.

Katanya, hanya Naib Ketua, pemangku Ketua Wanita dan pemangku Ketua Wirawati yang meninggalkan bahagian itu untuk menyertai bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony yang akan menubuhkan parti baharu.

“Mereka yang lain dalam jawatankuasa bahagian masih bersama Warisan,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan Warisan Keningau.

Loretto yang juga Ketua Warisan Bahagian Keningau berkata, tindakan segelintir pimpinan untuk keluar parti tidak sesekali melemahkan bahagian berkenaan.

Sebaliknya, tindakan itu meningkatkan lagi semangat kepimpinan akar umbi yang selama ini membantu memperkasakan parti sejak 2016.

Loretto berkata, keputusan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tidak sesekali akan menyebabkan parti itu terkeluar daripada landasan perjuangan asal.

“Objektif perjuangan asal Warisan adalah menukar kerajaan pada pilihan raya umum 2018 dan terbukti rakyat telah bersuara melalui peti undi.

“Namun, akibat ‘Langkah Sheraton’, mandat yang diberikan rakyat tidak dihormati. Rakyat sedar keputusan bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah dan Perikatan Nasional sama seperti menderhaka mandat rakyat,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *