Kami Bukan Katak, Tapi Hijrah Tinggalkan Kejahilan – Hamzah

MELAKA: Pemimpin dan ahli Umno yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu sebelum ini berbuat demikian kerana mahu ‘berhijrah’ meninggalkan parti dipimpin individu bermasalah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka yang berbuat demikian bukanlah ‘katak politik’, sebaliknya mahu meninggalkan ‘kejahilan’.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemimpin dan ahli parti yang keluar Umno memilih Bersatu kerana melihat parti itu sebagai wadah lebih baik dalam usaha membantu rakyat.

“Ramai yang keluar daripada Umno bukan katak politik, tapi nak berhijrah daripada kumpulan penuh dengan bermacam isu, yang pada satu ketika dipimpin oleh (Datuk Seri) Najib Razak sendiri.

“Itu menyebabkan orang lari daripada Umno. Berhijrah itu lebih baik untuk meninggalkan segala perkara jahil dilakukan mereka, dan keluar daripada masalah itu untuk mencari tempat lebih baik untuk membantu rakyat,” katanya dalam satu temu bual disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), mengatakan undi kepada PN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah sama dengan mengundi katak politik.

Istilah katak politik kini kerap digunakan dalam kalangan ahli politik terhadap wakil rakyat yang melompat parti, sama ada dengan tujuan memperkukuh sesuatu gabungan atau menjatuhkan kerajaan.

Mengulas isu wajah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih banyak terpampang di seluruh Melaka berbanding calon PN, Hamzah berkata, ia menggambarkan keyakinan parti itu terhadap kepemimpinan Muhyiddin.

Katanya, pihak mempersoalkan perkara itu ‘malu’ dengan pemimpin parti mereka sendiri merujuk kepada PH dan BN yang tidak mempamerkan gambar pengerusi masing-masing sepanjang kempen PRN Melaka.

“Mereka tak berani letak sebab takut orang kata, inilah individu bermasalah yang akan memimpin calon mereka nanti.

“Analoginya seperti penyu simpan kepala dalam cengkerang. Kita berani letak gambar ‘Abah sayang Melaka’ kerana nak tunjukkan dialah (Muhyiddin) yang akan pimpin, nasihat calon PN nanti.

“Mungkin mereka malu nak letak gambar presiden parti mereka sendiri,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *