Penjawat Awam Maut, Kereta Terbabas Langgar Pokok Di Jalan Limbawang

Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk selepas merempuh pokok di Jalan Limbawang Bypass di sini.

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri di Jalan Limbawang Bypass, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa Benard Kimbiat, 51, yang memandu Perodua Alza seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Melabau, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang juga seorang penjawat awam dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, kenderaan mangsa kemudiannya merempuh sebatang pokok sehingga menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian.

“Kenderaan yang dipandu mangsa juga mengalami kerosakan teruk iaitu remuk bahagian depan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian Covid-19.

Katanya, setakat ini tiada sebarang unsur-unsur khinat atau jenayah yang ditemui dalam kes ini namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *