Saya Pun Tak Suka Orang ‘Lompat-Lompat’ Parti, Kata Bung

Semua Ahli Parlimen perlu menyokong usul RUU Akta Anti Lompat Parti, kata Bung Moktar Radin.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin menggesa semua wakil rakyat menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti yang akan dibawa oleh bekas Timbalan Speaker Azalina Othman Said di Dewan Rakyat nanti.

Beliau berkata, sokongan terhadap akta itu perlu bagi memastikan kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara.

“Saya tidak suka orang lompat-lompat. Saya setuju dengan Shah Alam (Ahli Parlimen).

“Waktu orang lompat-lompat (parti) di Sabah, saya seorang yang tinggal tak lompat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian selepas Khalid Samad (PH-Shah Alam) mencelah perbahasan itu dengan menyelar tindakan Ahli Parlimen yang melompat parti sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyebabkan politik dan kerajaan tidak stabil sehingga masa ini.

Dalam pada itu Bung berkata, disebabkan itu beliau juga menyokong untuk diadakan pilihan raya umum.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tidak berlakunya wakil rakyat yang melompat parti jika diadakan pilihan raya.

“Ahli Parlimen Pengerang (Azalina) pun sedang rangka satu usul, iaitu Akta Anti Lompat Parti. Saya memang sokong dan saya harap Shah Alam pun sokong. Kita tak mahu orang lompat-lompat. Kita menang-menang dan kalau kalah, kalah.

“Apa mau takut, lawan sajalah,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *