Jake Nointin Tinggalkan Warisan Bersama 2,519 Penyokonya Sertai PBRS

Jake (tiga dari kanan) menyerahkan borang keahlian PBRS kepada Arthur.

KENINGAU: Bekas Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) Keningau, Datuk Jake Jikulin Nointin bersama 2,519 penyokongnya menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di sini kelmarin.

Penyertaan beliau bersama penyokongnya dalam PBRS diterima oleh Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup pada Majlis Penerimaan Rasmi Keahlian PBRS yang diadakan di pekarangan kediaman Jake, di Keningau.

Jake ketika ditemui media berkata, setelah berehat selama setahun dalam bidang politik, beliau bersama-sama dengan rakan seperjuangannya akhirnya memilih untuk menyertai PBRS sebagai kesinambungan dalam perjuangan mereka.

“Secara rasminya saya dan sahabat-sahabat yang telah bercuti daripada politik selama setahun, akhirnya kami membuat keputusan untuk menyertai PBRS iaitu parti tempatan yang dipimpin oleh pemimpin muda.

“Kepimpinan PBRS juga telah membuktikan kepada sikap integriti, kredibiliti yang tinggi dan keperihatinan dalam mendahulukan kepentingan rakyat di negeri Sabah khususnya di pedalaman.

“Harapan kami adalah dapat menyumbangkan sedikit sebanyak dalam usaha memperkasakan perjuangan PBRS di negeri Sabah amnya dan khususnya di pedalaman ini,” jelasnya.

Sementara itu, Arthur mengalu-alukan kehadiran Jake bersama-sama dengan rakan seperjuangan beliau sebagai ahli PBRS dalam kawasan Parlimen P.180 Keningau. 

Katanya, kehadiran beliau bersama penyokong dalam PBRS mampu menggerakkan parti secara aktif di kawasan Parlimen Keningau.

Jelasnya, beliau percaya mereka juga akan berpegang kepada prinsip PBRS selama ini iaitu berjuang untuk kecemerlangan rakyat, memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Jake (tiga dari kanan) bersama Arthur dan pemimpin PBRS melaungkan slogan PBRS.

Untuk rekod, selain sebagai bekas Ketua Bahagian WARISAN Keningau, Jake juga sebelumnya merupakan bekas Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau juga pernah bertanding atas tiket WARISAN bagi merebut kerusi Parlimen Keningau dan kalah tipis dengan majoriti 45 undi dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dalam pertandingan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. – Borneodailybulletin

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *