Bentang Setiap Sen Belanja RMK12, Shafie Beritahu Kerajaan

Shafie Apdal berkata, setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan kerajaan perlu ada ketelusan dan akauntabiliti bagi memastikan setiap aktiviti dicadang dan dilaksanakan kelak memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

KUALA LUMPUR: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu memberikan laporan berkala kepada Dewan Rakyat bagaimana RM400 bilion yang diperuntukkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibelanjakan kerana ia adalah perancangan pelan ekonomi terbesar dalam sejarah negara.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ia bagi mengelakkan setiap perancangan pelan ekonomi negara itu hanya kelihatan cantik di atas kertas, tetapi gagal dalam proses pelaksanaannya.

“Dari 1971 hingga 2015, kadar pertumbuhan adalah 6.2% setahun, ia turun kepada 2.7% setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020. Pada 2020 pula, pendapatan negara kasar Malaysia pula adalah 20% di bawah tahap negara maju.

“RMK11 pula nampaknya jauh tersasar daripada sasaran sebenar. Daripada enam pencapaian matlamat disasarkan, hanya satu sahaja menepati sasaran.

“Manakala bagi sasaran ekonomi mikro terpilih, hanya dua daripada lapan sasaran ditepati. Ekuiti korporat rakyat tempatan, sama ada bukan Bumiputera atau Bumiputera pula menurun kepada 30.7% dan 16.2%.

“Seharusnya setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan perlu ada ketelusan dan akauntabiliti. Ia bagi memastikan setiap aktiviti dicadang dan dilaksanakan kelak memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat.

Shafie berkata, semua pihak juga perlu mencari jalan penyelesaian segera terhadap isu rasuah, nepotisme, ketirisan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan proses pembangunan negara.

“Selagi anasir buruk ini ada, macam mana mampan pun sesuatu rancangan, ia pasti sukar dilaksanakan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *