Naib Presiden PBS Buka Mulut Babit Penukaran Kerajaan Negeri

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Joachim Gunsalam, tidak yakin masalah Covid-19 selesai dengan pertukaran kerajaan.

KOTA KINABALU: Kepemimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) menyuarakan pandangan berhubung spekulasi bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergegar susulan perkembangan politik di Semenanjung.

Naib Presidennya, Dr Joachim Gunsalam, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, fokus sepatutnya menjurus kepada usaha menangani masalah Covid-19, bukannya menyalurkan tenaga kepada perkara tidak perlu.

“Penting kepada kerajaan negeri GRS memberi tumpuan penuh menyelesaikan masalah Covid-19 di negeri ini berbanding membuang masa dan tenaga untuk politik “tukar kerajaan”.

“Ketika ini bukan masanya untuk menukar kerajaan. Bagaimana kita mahu memberi jaminan penularan Covid-19 akan terhenti selepas kita menukar kerajaan?

“Atau mungkin ia menjadi lebih teruk? Tiada jaminan,” katanya dalam kenyataan.

Joachim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Sabah Hajiji Noor, semalam, yang mengatakan kepemimpinan perikatan berkenaan sudah mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan negeri, selain menjunjung mandat rakyat pada pilihan raya negeri ke-16, September tahun lalu.

Kenyataan Hajiji itu dibuat beberapa jam sebelum Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan parti berkenaan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), kira-kira sebulan selepas secara rasmi menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Zahid dalam kenyataan berkata, terdapat jumlah akuan bersumpah yang mencukupi daripada Ahli Parlimen Umno mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Sambil menyokong kenyataan Hajiji, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, rakyat Sabah sudah memberikan mandat kepada GRS, justeru menjadi tanggungjawab kepemimpinan untuk memenuhinya.

“Janganlah berterusan bermain politik sebaliknya memberi fokus menyelesaikan masalah Covid-19,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *