Mayat Bayi Dalam Beg Plastik Ditemukan Di Tangga

Mayat bayi yang ditemukan di tangga sebuah premis di Jalan Bundusan, Penampang untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – Foto Facebook

PENAMPANG: Mayat bayi lelaki ditemukan di tangga sebuah premis perniagaan di Jalan Bundusan di sini, tengah hari ini.

Bayi yang dipercayai baharu dilahirkan itu ditemukan oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Anggota Mayat bayi yang ditemukan di tangga sebuah premis di Jalan Bundusan, Penampang untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – Foto Facebook

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman mengenai penemuan bayi terbabit pada 1.10 tengah hari.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati mayat bayi lelaki terbabit diletakkan dalam satu beg plastik.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan bayi terbabit sudah meninggal dalam tempoh kira-kira enam jam sebelum ditemukan.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Oleh yang demikian, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Haris berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961.

Menurutnya, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Inspektor Azerina Ali Omar di talian 014-6535238,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *