STAR Sabah Kembang Sayap Ke Semenanjung

Guandee Kohoi

PETALING JAYA: Parti Solidariti Tanahairku (STAR Sabah) memutuskan untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung dengan menubuhkan pejabat perhubungan negeri.

Setiausaha Agungnya, Guandee Kohoi berkata, Iskandar Abdul Malik dilantik sebagai pengerusi STAR Semenanjung, manakala beberapa individu lain akan dilantik sebagai pengerusi perhubungan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.

“Langkah untuk mengembangkan STAR Sabah di Semenanjung tidak bercanggah dengan perlembagaan parti itu, malah ia satu usaha dalam memperkuatkan parti menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tidak mustahil STAR Sabah bertanding di Semenanjung memandangkan ada permintaan menggalakkan daripada rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung.

Beliau menyeru anak Sabah di Semenanjung menyertai STAR dan mereka yang bukan berasal dari Sabah boleh menjadi ahli bersekutu parti itu.

Sementara itu, Iskandar mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan membawa perjuangan STAR ke Semenanjung. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2457