Covid-19: 2,295 Kes Baharu, 9 Kematian Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara hari ini merekodkan sebanyak 2,295 kes dengan sembilan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 117,373 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 22,398 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 3,321 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 94,492 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,286 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 638 kes (27.8 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 496 kes (77.7 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 580 kes (25.3 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 288 kes (12.5 peratus).

“Sebanyak 135 kes (5.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (109 kes), Kluster Tembok Gajah (14 kes), Kluster Kolam Air (tiga kes), Kluster Tembok (tiga kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga kes), Kluster Tembok Mempaga (dua kes) dan Kluster Tembok Choh (satu kes),”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat pertambahan sembilan kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 483 kes atau 0.41 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 125 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *