(VIDEO) Bapa Mentua, Menantu Maut Rempuh Tiang Konkrit Di Jalan Kepayan

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU : Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang konkrit jejambat di Jalan Kepayan, berhampiran bangunan Aeropod, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa Mohd Ikbal Doi, 36, dan bapa mentuanya, Makin Balli, 50-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa menaiki pacuan empat roda Isuzu D Max dari Putatan menuju ke Wisma Muis di sini.

Katanya, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar kenderaan pacuan empat roda berkenaan kepada pemiliknya yang juga kenalan keluarga mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu laju sehingga terbabas dan merempuh tiang jejambat.

“Akibat dari kejadian berkenaan, kedua-dua mangsa tersepit dan polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengeluarkan mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, sebaik berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Katanya, pemandu tidak disyaki mabuk, namun sampel darah sudah diambil untuk analisis alkohol dan dadah di Jabatan Kimia.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3566