UMNO Sabah Jangan Terus Dibuai Kejayaan PRN Lepas – Bung

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU, 31 Dis : Semua ahli UMNO Sabah diingatkan supaya jangan terus dibuai dan leka dengan kejayaan dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas, sebaliknya terus berusaha memastikan parti itu terus relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kejayaan UMNO memenangi 14 daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi, bukanlah jaminan parti itu terus berkuasa memandangkan rakyat kini menjadi pemerhati bijak.

Bung Moktar juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, dalam mencapai kejayaan memenangi kerusi DUN itu, harus diingat ada sebahagian kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang seharusnya boleh dimenangi, tetapi terlepas ke tangan parti lawan.

“Kita harus kaji kekalahan itu, kita perlu terus berkerja mendekati ahli dan rakyat peringkat akar umbi, kerana selepas ini kita berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU), kita perlu mulakan gerak langkah dari sekarang untuk terus berkerja memberikan perkhidmatan yang terbaik, kepada ahli dan rakyat.

“UMNO perlu berubah dan berani membuat perubahan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, malah semua ahli…sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, UMNO tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa terdahulu dan kejayaan kecil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pemimpin parti perlu sedar kekuatan UMNO bermula dengan hubungan pemimpin akar umbi dengan rakyat, justeru pemimpin cawangan dan bahagian UMNO perlu aktif mengadakan program kemasyarakatan, membasmi miskin tegar, memperkasakan pendidikan, ekonomi dan membantu rakyat semasa kesusahan.

“Sejauh mana kehebatan dan pencapaian parti, ahli UMNO perlu berpijak di bumi nyata ketika dalam proses pemulihannya kini, dengan terus berusaha mengukuhkan parti, ahli parti tidak seharusnya terlalu nostalgik dengan kejayaan masa lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *